Jumat, 08 November 2013

Hati Bersih Kunci Dapat Memilih Pemimpin Yang Adil


"Nabi SAW telah bersabda: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,
dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya
dan ketahuilah bahawa itu adalah hati."
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Yakin dan percaya kita selalu sahaja mendengar hadis mengenai hati ini. Kita memang sudah sedia maklum bahawa hatilah yang menggerakkan setiap anggota tubuh kita. Setiap apa yang terlintas di hati, itulah yang akan tubuh kita refleksikan. Jika hati kita hidup, maka amat senang bagi kita untuk menerima kebaikan. Namun jika sebaliknya, maka berlakulah hati yang tidak hidup yang amat sukar menerima kebaikan.

Terkadang kita melalui fasa-fasa futur dalam diri bukan? Itulah tandanya hati kita tidak sihat. Di kala ini amat mudahlah untuk syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik ke dalam diri kita. Jika hal tersebut berlaku, amat mudah bagi kita untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan dan nafsu. Bukan itu sahaja, kita mudah termakan janji palsu manusia yang ingin namanya disanjung tanpa kita sedari, manusia itu tidak melakukan apapun.

Kita perlu sentiasa menyucikan jiwa kita ini agar hati kita sentiasa hidup dan sihat. Supaya kita sentiasa dapat melakukan kebaikan dan dapat menilai baik dan buruk seorang pemimpin yang bakal dipilih. Hal ini kerana, pemimpin sangat penting untuk membantu membangunkan jiwa islam melalui dasar-dasar yang bakal dibawanya. Pemimpin islam yang baik sudah pasti akan menegakkan syariat islam dalam kepimpinannya. Namun, pemimpin yang tidak baik, hanya ingin namanya gah di mata manusia!

Dengan yang demikian, Marilah sama-sama kita perhatikan doa yang Nabi Ibrahim titipkan ini.

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-MU dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh, ENGKAUlah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana."
[Al-Baqarah, 2:129]

Dari sini kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH memohon untuk diutuskan para rasul kepada setiap umat untuk melaksanakan dan mengingatkan ayat-ayat ALLAH. Apatah lagi kita hamba yang lemah. Pastinya kita menginginkan pemimpin yang membolehkan kita mengingati ALLAH setiap masa dan ketika. Tidak kiralah jika kita seorang pemimpin keluarga, pemimpin masyarakat dan  pemimpin negara. Kita islam, kita wajib memilih pemimpin dan menjadi pemimpin seperti yang ALLAH tetapkan

0 komentar:

Posting Komentar